Sejarah Garisan air

Peraturan rasmi pertama berkaitan pemuatan kapal terdapat dalam undang-undang maritim kerajaan Crete, pada tahun 2500 SM. Melalui peraturan ini, kapal-kapal diwajibkan lulus pemeriksaan ke atas pemuatan dan penyelenggaran. Peraturan yang sama juga terdapat dalam undang-undang laut kerajaan Rome.

Pada Zaman Pertengahan, republik Venice, bandar Genoa dan liga Hanseatic mewajibkan pemuatan dihadkan pada paras tertentu. Venice menanda paras ini dengan tanda palang di kedua sisi kapal, dan Genoa menandanya dengan 3 garisan melintang.

Peraturan pemuatan pada kurun ke-19 diperkenalkan oleh Lloyd's Register dari British and Foreign Shipping pada tahun 1835, selepas perbincangan dengan pemilik kapal, syarikat penghantaran dan institut taja jamin. Lloyds mencadangkan lambung bebas bersamaan dengan kedalaman badan kapal (tiga inci untuk setiap kaki kedalaman). Peraturan ini diguna pakai dengan meluas sehingga tahun 1880, dan dikenali sebagai "Hukum Lyod" (Lloyd's Rule).

Pada tahun 1860-an, selepas meningkatnya kes kapal yang karam akibat terlebih muatan, seorang ahil parlimen British, Samuel Plimsoll mencadangkan peraturan baru untuk garisan beban. Satu Suruhanjaya Diraja untuk kapal yang tak layak belayar ditubuhkan pada tahun 1872, dan pada tahun 1876 Akta Kapal Dagang United Kingdom mewajibkan penggunaan garisan beban, walaupun kedudukannya tidak ditetapkan oleh undang-undang sehingga tahun 1894. Pada tahun 1906, satu undang-undang diluluskan yang mewajibkan setiap kapal dagang asing yang datang ke pelabuhan British mesti ditanda dengan garisan beban. Pada tahun 1930, Konvensyen Garisan Beban telah diadakan yang menetapkan penggunaan seluruh dunia untuk peraturan garisan beban.

Beberapa lagi Konvensyen Garisan Beban telah diadakan pada tahun 1966, 1971, 1975, 1979, 1983, 1995 dan 2003 bagi menilai semula dan meminda beberapa peraturan dari tahun 1930.[3]